SELAMAT DATANG KE PEJABAT KETUA PEGAWAI MAKLUMAT (CIO)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia. Salam Melaka Maju Negeriku Sayang; Negeri Bandar Teknologi Hijau; Melaka 754 tahun Dan Melaka Maju Fasa Ke-2.

Saya ingin mengucapkan selamat datang dan terima kasih kerana melayari laman web rasmi Pejabat Ketua Pegawai Maklumat, UTeM.

Gelombang ledakan teknologi maklumat dan komunikasi kurun ke-21 telah mengubah persekitaran dan cara hidup manusia. Peralihan ini menyaksikan kemunculan fenomena megatrends, revolusi perindustrian ke-4 dan digital disruptions yang mencabar konvensi dan kebiasaan. Sebagai warga yang bertanggungjawab, semua perubahan ini tidaklah wajar ditanggap sebagai hambatan semata-mata, tetapi perlu didakap kemas dan dijadikan petunjuk kepada hala tuju pembangunan ekonomi negara. Dalam menempuhi era digital, hierarki dalam organisasi tradisional perlu dielakkan agar tidak menjadi halangan utama kepada organisasi itu untuk bergerak pantas. Mekanisme yang tekal merangkumi Business Process Reengineering (Perekayasaan Proses Kerja), Strategic Planning (Perancangan Strategik), Scenario Planning (Perancangan Senario) dan High-Impact Studies (Kajian Berimpak Tinggi) perlu dilaksanakan dalam memandu sesebuah organisasi itu berubah dan menuju visi yang telah ditetapkan.

Mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 yang akan mengubah cara hidup manusia dan bekerja, UTeM melalui Pejabat Ketua Pegawai Maklumat telah melaksanakan beberapa inisiatif melalui tiga (3) pejabat dibawah strukturnya iaitu Pusat Perkhidmatan Pengetahuan dan Komunikasi (PPPK), Penerbit Universiti dan Perpustakaan Laman Hikmah. Pejabat CIO bertindak sebagai penyalur maklumat secara efektif, kreatif dan inovasi dalam aspek penerbitan, menggunakan kaedah teknologi IT ke arah merealisasikan misi dan visi UTeM dan menjadi nadi kepada usaha pembangunan dan perkembangan budaya "Kampus Digital Yang Kondusif Dan Mesra Pengguna ". Inisiatif ini bersesuaian dengan objektif, visi dan misi keberadaan tiga buah PTj yang  berada dibawah tadbir urus Pejabat CIO. Inisiatif awal yang telah berjaya dilaksanakan adalah penyediaan infrastruktur rangkaian UTeM menggunakan teknologi Unify Communication. Projek ini adalah selari dengan konsep Komuniti Digital UTeM yang berupaya untuk menghubungkan peranti elektronik melalui kemudahan tanpa wayar (WiFi) telah dilaksanakan di seluruh kawasan kampus.

Sejajar dengan strategi UTeM di bawah RMKe-11 untuk memperluas jangkauan perkhidmatan dengan peningkatan libat urus bersama rakyat melalui penggunaan perkhidmatan atas talian, laman web ini juga menyediakan ruang kepada warga UTeM dan masyarakat amnya untuk menyampaikan cadangan, aduan, pertanyaan dan maklum balas secara langsung kepada Pejabat Ketua Pegawai Maklumat dalam mengenal pasti isu dan penyelesaian secara kreatif. Medan ini turut menyediakan pautan ke Portal Rasmi PPPK, Penerbit Universiti dan Perpustakaan Laman Hikmah dan laman media sosial rasmi Pejabat Ketua Pegawai Maklumat. Justeru itu saya mengalu-alukan kepada semua warga UTeM dan masyarakat amnya, memberi sebarang maklumbalas kepada kami supaya laman web ini akan lebih interaktif dan berinformasi.

 

Sekian, wassalam.  Terima kasih.

 


MOHD ISA BIN MOHD DOM

Ketua Pegawai Maklumat
Pejabat Ketua Pegawai Maklumat
Universiti Teknikal Malaysia Melaka